SHAH ALAM, 19 OGOS – SETUJU….. Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi merestui Umno Selangor untuk mengusulkan pemecatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Sue Lim.

Zahid mendakwa Ng tidak menghormati hal ehwal Islam apabila speaker itu mengakhiri sidang dewan yang dijadualkan berlangsung selama 12 hari dalam masa dua hari sahaja.

“Persidangan yang panjang ditamatkan dalam tempoh dua hari. Kerana apa? Sebab ada RUU yang sepatutnya dibaca menteri besar. Bukan kah kurang ajar?”

“Saya beri kuasa sepenuhnya untuk membawa usul bahawa speaker mesti dipecat,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Ummo Bahagian Petaling Jaya hari ini, lapor PORTAL DALAM TALIAN TEMPATAN.

Langkah Ng memendekkan sidang DUN dilihat seolah-olah cuba mengelak pindaan RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara sepihak.

Bagaimanapun, Ng menafikan hal itu sebagai “khabar angin yang disebarkan media”.

Ng juga menjelaskan penyertaan yang rendah daripada Adun semasa perbahasan juga menjadi antara punca sidang tersebut dipendekkan.

Sidang DUN Selangor sepatutnya berlangsung dari 29 Julai hingga 9 Ogos, namun ia ditamatkan selepas hanya dua hari berlangsung.

Majoriti Adun PH membantah pindaan tersebut tetapi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang cuba membentangkan RUU tersebut berkata pindaan berkenaan merupakan hasrat istana.

Bagaimanapun, selepas isu ini dibincangkan kepada umum, Amirudin berkata terdapat hikmah daripada langkah Ng itu.

Jelasnya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sedang meneliti cadangan pindaan enakmen negeri itu.

Pada masa ini, enakmen Selangor menyatakan sesiapa yang berusia di bawah 18 tahun mesti mendapatkan persetujuan daripada “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam. Pindaan itu mahu mengubahnya kepada “ibu atau bapa”.

Versi Bahasa Malaysia Perlembagaan Persekutuan pula menyebut “ibu atau bapa” dalam hal itu.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata pendakwah kontroversi Zakir Naik mendapat status pemastautin tetap (PR) pada tahun 2015.

Zahid turut mengheret Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam isu ini, berkata pada waktu itu beliau adalah timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun Zahid, yang merupakan menteri dalam negeri ketika itu tidak menjelaskan lanjut peranan Muhyiddin.

Mengenai kemungkinan pilihan raya kecil di Kimanis, Zahid berkata Umno Sabah akan mengukur sokongannya di sana sebelum memutuskan untuk mengambil bertanding. – WD MY