HULU LANGAT, 20 FEB – CUTI….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih berteka-teki berhubung tempoh cutinya sebagai Presiden UMNO selepas menyerahkan tugas itu kepada timbalannya pada Disember tahun lalu.

Sebaliknya, Ahmad Zahid sekadar memaklumkan tempoh cuti itu akan ditentukan beliau hingga tiba masa sesuai.

“Nantilah saya tentukan (bila cuti berakhir). Walaupun saya bercuti, saya tidak pernah bercuti sebagai ahli UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program sembang santai anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, malam tadi.

Ahmad Zahid pada 18 Disember tahun lalu mengumumkan beliau bercuti daripada jawatan Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kehadirannya berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) bukan atas kapasiti sebagai Presiden UMNO, sebaliknya individu.

“Ini kali ketiga saya turun ke Semenyih. Saya tidak turun sebagai membantu jentera UMNO-BN, saya datang sebagai individu yang mana programnya adalah anjuran NGO,” katanya. – WD MY