JOHOR BAHRU, 5 OKT – BERTANDING…. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi bayangan parti itu mungkin akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ahmad Zahid berkata, ia berikutan masyarakat Tanjung Piai dan parti berkenaan mahukan pembaharuan di kawasan Parlimen itu.

“Tanjung Piai akan jadi kajian lapangan. Ia kerusi tradisi MCA tetapi kita tahu hampir 57 peratus daripada pengundi kawasan itu adalah orang Melayu.

“UMNO dan masyarakat Tanjung Piai mahukan pembaharuan tetapi MCA juga mahu mengekalkan tradisinya.

“Namun tidak ada sesuatu yang mustahil, jika MCA dapat berbesar hati dan berlapang dada dalam masa yang sama UMNO juga jangan mengenepikan MCA dan undi masyarakat Cina, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2019, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ditanya pemberita apa yang dimaksudkan MCA perlu berlapang dada, Ahmad Zahid berkata, ia seperti apa yang berlaku pada PRK Cameron Highlands awal tahun lalu.

“MCA harus berlapang dada seperti MIC berlapang dada pada PRK Cameron Highlands, Januari lalu,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai calon PRK Parlimen Tanjung Piai, Ahmad Zahid berkata, ia hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kajian lapangan di Tanjung Piai akan dijadikan asas utama dalam pemilihan calon yang akan diturunkan di kawasan berkenaan.

“BN juga akan menawarkan manifesto baharu yang menumpukan kepada kegembiraan rohani (spiritual happiness) berbanding fizikal dan perinciannya akan dibincangkan dengan Badan Perhubungan UMNO Johor.

“BN yakin mampu merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan Hasni sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Tanjung Piai manakala Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan sebagai Pengarah Operasi.

PRK Parlimen Tanjung Piai  diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU-14, Dr Md Farid, seorang pakar bius, memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). – WD MY