JOHOR BAHRU, MAC 30: Penduduk di empat kampung setinggan Desa Jaya menerima kunci bagi penempatan semula dari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebanyak 320 unit disediakan bagi menempatkan penduduk dari Kampung Desa Jaya, Desa Melayu, Hajjah Hasnah dan Belantik.

Secara keseluruhannya, sebanyak 2,720 unit disediakan bagi lapan kampung termasuk Kampung Bakar Batu, Tok Siak, Bunga Raya dan Tengah serta Desa Makmur, bagi memberi laluan pembinaan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL).

Penerima, Azman Othman, 57, berkata beliau bersyukur atas usaha kerajaan membantu penduduk setinggan dengan menempatkan mereka di tempat baharu.

“Kami sudah tinggal di rumah setinggan sejak lebih 30 tahun, dengan keadaan rumah pun sudah buruk.

“Apabila diberi rumah baharu ini, kami sekeluarga berpeluang memulakan kehidupan lebih selesa serta rumah pun tidak sempit untuk saya dan anak-anak,” katanya.

Bagi Abd Razak Abd Rahman, 36, sudah lebih 15 tahun beliau dan penduduk Kampung Desa Jaya menanti untuk mendapatkan penempatan semula yang lebih sempurna.

Katanya, beliau tinggal di kampung itu sejak lahir dan banyak kenangan bersama rakan dan orang kampung.

“Pembinaan penempatan semula di sini membolehkan penduduk berpindah ke kediaman lebih selesa, malah dapat membina kehidupan dengan komuniti yang lama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zasfaruddin, 55, turut menzahirkan rasa gembira kerana dapat menduduki rumah baharu selepas lebih 28 tahun menetap di rumah lama di Kampung Majidee.

“Dinding rumah lama pun banyak yang sudah reput dimakan anai-anai. Kalau hujan, rumah pun bocor.

“Apabila dapat berpindah ke rumah baharu ini, syukur kerana saya dan anak-anak dapat tinggal di rumah yang lebih selesa,” katanya.-MY WD