KUALA LUMPUR, OKTOBER 25: SOKONGAN…Jika minggu lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di Mahkamah Kuala Lumpur untuk mengikuti perkembangan pendakwaan terhadap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini giliran bekas tiombalannya berbuat demikian.

Ahmad Zahid yang berkemeja putih dan berjaket hitam dilihat berada di mahkamah pada kira-kira 9 pagi untuk memberi sokongan moral terhadap kes pendakwaan Najib.

“Ya, sudah tentu. Saya di sini untuk memberi sokongan moral (kepada Najib),” katanya kepada wartawan di perkarangan mahkamah hari ini.

Beliau sempat melambai kepada media dan terus menuju ke arah Mahkamah Sesyen untuk mengikuti perkembangan kes berkenaan.

Selain Ahmad Zahid, anak Najib, Mohd Ashman dan Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam turut hadir memberi sokongan kepada bekas presiden Umno itu.

Pada 19 Oktober lalu, Najib hadir ke mahkamah seksyen di Kuala Lumpur, bagi memberi sokongan moral kepada Ahmad Zahid atas 45 pertuduhan membabitkan kesalahan penggubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah.

Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6,636,065,000.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk K Kumaraendran serta Datuk Geethan Ram Vincent bertindak bagi pihak Mohd Irwan Serigar.-MY WD