KAJANG, 24 Mei – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan penemuan kubur-kubur besar berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan
untuk menempatkan pelarian di Padang Besar, Perlis.

Menurut beliau, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit Komando VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.
Perkara berkenaan dimaklumkan kepada beliau tentang penemuan itu oleh unit VAT 69 dan PGA pada minggu lepas.

Terkejut dengan penemuan itu, beliau berkata khemah-khemah tersebut dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.

“Hari ini, ketua polis negara dan timbalannya berada di sempadan Malaysia dan Thailand untuk melakukan pengecaman dan pengesahan,” katanya.

Zahid ditemui media selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Maktab Penjara Malaysia, hari ini.

Tambah Zahid, kubur-kubur itu dikenal pasti sebagai kubur kepada pelarian dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

“Mungkin, satu kubur memuatkan tiga, empat atau hanya satu mayat. PGA dan VAT 69 masih menjalankan siasatan dan memeriksa kawasan itu. Dengan kerjasama Thailand, kami akan menjumpai lebih banyak mayat,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY