KUALA LUMPUR,SEPTEMBER 30:UMNO… UMNO sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap ahlinya yang ‘lompat’ parti dan menjadi wakil rakyat bebas, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, menyifatkan keputusan itu diambil bagi menghormati kehendak disuarakan ahli parti yang merasakan diri mereka dikhianati.

“Writ saman sudah dihantar kepada beberapa individu berkaitan, malah kita memfailkan tuntutan bayaran balik yang membabitkan kos.

“Mereka juga perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana tidak lagi mempunyai asas moral untuk menjadi wakil rakyat.

“Kerusi itu milik UMNO dan penyokong BN,” katanya disahut sorakan perwakilan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, malam semalam.

Setakat ini, pegangan kerusi UMNO di Dewan Rakyat menyaksikan penyusutan apabila lima ahlinya mengambil keputusan keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Selain itu, tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Johor mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), iaitu parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Ketiga-tiga mereka adalah Rosleli Jahari (Johor Lama), Alwiyah Talib (Endau) dan Rasman Ithnain (Sedili).

Pasca perbincangan dan mencapai persetujuan bersama, Ahmad Zahid berkata, semua wakil rakyat UMNO kini diminta menandatangani ‘aku janji’ bagi mengelak tindakan ‘lompat parti’.

“Jika keluar parti, sama ada menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti, maka status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik.

“Kita akan tuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi,” katanya.-MY WD