KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kecewa…. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menyamakan anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tengku Adnan berkata persamaan itu dibuat kerana Zaid dilihat sering ‘mengganggu’ kerajaan.

Mengulas mengenai pelawaan Dr Mahathir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam program Nothing to Hide 2.0, Tengku Adnan berkata Zaid ibarat orang kecewa.

“Zaid ini pun dia ingat semacam juga, semacam orang kecewa. Bila orang kecewa bercakap, dia jadi masalahlah. Macam Tun Mahathir.

Tengku Adnan berkata demikian di sidang media selepas sesi pengundian dan pelancaran Rumawip Splendor Residence disini hari ini.

“Dia (Zaid) jadi menteri sekejap saja. Dia tak boleh perform sebab itu kena pecat dengan Tun Abdullah. Jadi dia kecewa.

“Sekarang ini tak tahu apa yg dia hendak, orang-orang kecewa ini macam si luncai dengan labu,” kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Tengku Adnan berkata perdana menteri tidak perlu melayan ajakan debat oleh pengerusi BERSATU dalam program “Nothing to hide 2.0” dan mengaggapnya sebagai tidak perlu.

Zaid kemudian dilaporkan menyifatkannya sebagai “tukang angguk” Najib, dan berkata debat itu perlu dilakukan kerana Mahathir banyak menyumbang kepada negara.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata pihaknya tidak akan melayan cakap-cakap orang kecewa seperti Zaid.

“Ini masalah mereka jadi saya percaya kita tak boleh guna pakai apa cakap orang kecewa,” katanya.

Pada Selasa, Tun Mahathir menyatakan hasratnya agar Najib menyertai beliau dalam sebuah forum yang dianjurkan bulan depan bagi menjawab pelbagai persoalan yang akan dibangkitkan. – WD MY