PUTRAJAYA, 16 Jan – Dilantik……. Datuk Seri Zainal Rahim Seman dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa hari ini, bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang tamat tempoh kontrak.

Menurut kenyataan dari Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Zainal Rahim, 59, berkhidmat dalam sektor awam selama 33 tahun sejak menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 9 Januari 1984.

“Beliau berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran tanah dan daerah, pengurusan sumber manusia serta pengurusan projek pembangunan menerusi pelbagai kerjaya perkhidmatan.

“Antara lain sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohamad Zabidi atas sumbangan serta khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam selain negara selama lebih 35 tahun,” katanya. – WD MY