KUALA LUMPUR, 3 Jul – TAHU…. Datuk Seri Najib Razak berkata Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika menjadi Gabenor Bank Negara menyedari kewujudan dana RM2.6 bilion dalam akaunnya sebelum Pilihan Raya Umum 2013, namun tidak pernah mempersoalkan perkara itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Bank Negara sepatutnya memberitahu beliau jika ada keraguan berhubung dana berkenaan.

“Jika Bank Negara tahu tentang dana ini, dan mereka ada bayangan atau pengetahuan bahawa mungkin akan ada keraguan tentang sumbernya, mereka patut beritahu saya.

“Tetapi ia tidak berlaku. Jadi, saya menyangka ia tiada masalah,” katanya.

Ditanya sekali lagi sama ada Zeti tidak memberi sebarang amaran, Najib berkata tiada maklum balas daripada Bank Negara dan beliau menyangka semuanya dalam keadaan baik.

Zeti yang bersara pada 2016 selepas 16 tahun menjadi Gabenor Bank Negara, dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional berhad (PNB) menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar, minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, Najib mengulangi wang berjumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) adalah derma daripada anggota keluarga diraja Arab Saudi.

Beliau juga menegaskan sudah mengembalikan AS$620 juta daripada wang berkenaan kepada pendermanya selepas PRU-13.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivilnya turut mendakwa wang berkenaan berasal daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Puad Zarkashi, pernah menyuarakan dakwaan sama bahawa Zeti menyedari kewujudan RM2.6 bilion itu dalam satu pertemuan dengan pelajar Malaysia di Australia pada 2016.

Puad dilaporkan berkata pemimpin UMNO bertemu Najib ketika skandal itu mula meletus pada 2015 dan Najib ketika itu mengakui menerima wang berkenaan.

Najib juga mendakwa sudah berbincang mengenainya bersama Zeti, malah Bank Negara memberi kebenaran untuk wang itu dibawa masuk.

Beliau berkata Najib turut memiliki dokumen kelulusan daripada Bank Negara dan sehingga kini Zeti belum mengulas dakwaan Najib dan Puad itu.

Zeti adalah anggota jawatankuasa kerja yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyiasat wang RM2.6 bilion dan RM42 juta dalam akaun peribadi Najib. – WD MY