HUTAN MELINTANG, 16 Sept – ZIARAH….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi rakan karibnya, Baharom Said, 66, yang kini berkerusi roda selepas terkena serangan angin ahmar, di kediamannya di Kampung Teluk Kerdu.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk mengenali Baharom yang merupakan Ketua UMNO Cawangan Teluk Kerdu, sejak 45 tahun lalu dan kedua-duanya kelihatan sebak serta berpelukan selepas hampir empat tahun tidak bersua muka.

Baharom yang jatuh sakit pada 2014 serta tidak mampu bertutur dengan lancar, kelihatan begitu gembira apabila menerima kunjungan Ahmad Zahid.

Isteri Baharom, Muslipah Kosni, 62, berkata mereka sekeluarga sangat terharu dengan keprihatinan Timbalan Perdana Menteri walaupun mempunyai jadual yang padat setiap hari.

“Datuk Seri (Ahmad Zahid) ada beritahu akan membantu suami saya untuk mendapatkan rawatan khusus bagi penyakit yang dialaminya dan saya berasa sangat bersyukur dengan keprihatinan beliau sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat,” katanya. – WD MY