KUALA LUMPUR, 3 SEPT – PERCEPAT…. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berharap proses pengambilan tanah kondominium Highland Towers yang terbiar sejak hampir 26 tahun untuk tujuan pembangunan semula dapat dipercepatkan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata proses libat urus bersama semua pihak berkepentingan sudah selesai, namun ada sebahagian penduduk yang tidak sempat menyatakan persetujuan secara rasmi.

Bagaimanapun, beliau berharap Kerajaan Selangor menerusi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat menyelesaikan proses pengambilan tanah bulan ini.

“Sebelum ini majoriti penduduk sudah bersetuju tapi saya mahu ikut prosedur yang betul (dalam mendapatkan persetujuan) dan tiada penduduk yang tertinggal,” katanya selepas menghadiri satu program di Kampung Baru Salak Selatan.

Beliau berharap urusan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri melalui MPAJ dapat diselesaikan bulan ini, sebelum kerja merobohkan Highland Towers dilakukan sekitar hujung tahun ini.

Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata Highland Towers akan dirobohkan selewat-lewatnya pada Jun 2019.

Terdapat cadangan untuk membangunkan semula lokasi strategik itu sebagai taman rekreasi selain pembinaan 50 unit banglo.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers setinggi 12 tingkat di Hulu Kelang, tumbang dan tragedi itu meragut 48 nyawa. – WD  MY