KUALA LUMPUR, 10 FEB – BIDAS…..  Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, menegur tindakan sebuah akhbar arus perdana kerana mengeluarkan laporan tanpa mengesahkannya terlebih dulu kononnya ada ‘biodata’ di laman sosial yang memaparkannya sebagai graduan National University of Singapore (NUS).

Beliau menegaskan, dirinya tidak pernah menyatakan atau mendakwa sebagai seorang graduan NUS dan tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana individu untuk berbuat demikian bagi pihaknya.

“Saya juga tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kemasukan maklumat tidak benar dalam wikipedia, yang mendakwa konon saya adalah kelulusan NUS.

“Saya juga kecewa apabila pihak media tidak memeriksa kebenaran maklumat yang ternyata palsu ini dengan saya sebelum menerbitkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, sebuah akhbar arus perdana, menerusi laporan dalam taliannya memaparkan berita mengenai isu sijil akademik palsu yang didakwa milik beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang terus mendapat perhatian netizen apabila mereka mula ‘menyiasat’ perkara itu.

Jika sebelum ini kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui, kini terdapat beberapa pemimpin PH dikaitkan dengan isu sama.

Terbaru, beberapa pengguna Twitter mempersoalkan sijil yang dimiliki Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Zuraida, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Antara lain, mereka mempersoalkan bagaimana nama Zuraida tiada dalam carian di universiti seperti dipaparkan dalam ruangan biodata beliau manakala Guan Eng pula dipertikaikan statusnya sebagai akauntan bertauliah kerana namanya didakwa tiada dalam daftar akauntan bertauliah. – WD MY