KUALA LUMPUR, 7 Nov – SELESAI…… Kes saman fitnah difailkan Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, terhadap pemimpin kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos, diselesaikan melalui proses mediasi selepas Jamal menyatakan rasa kesal dan menarik balik kata-kata yang dihamburkan kepada Zuraida dalam insiden pukul, tahun lalu.

Penghakiman persetujuan yang dibaca oleh Jamal itu direkodkan di hadapan Hakim S Nantha Balan dalam prosiding terbuka di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Dalam penghakiman persetujuan itu, Jamal selaku defendan menyatakan penyesalannya atas kesalahan beliau berhubung kata-katanya terhadap plaintif iaitu Zuraida dalam keadaan marah.

“Saya dengan ini ingin menarik kembali kata-kata yang saya hamburkan ketika situasi tegang di Ampang Point Mall kepada Zuraida berhubung dengan penerbitan bertarikh 13 November 2016.

“Saya juga mengaku janji untuk tidak mengulangi sebarang kenyataan berkenaan insiden itu terhadap plaintif,” katanya.

Terdahulu, Nantha Balan berkata, mahkamah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana berjaya menyelesaikan kes melalui mediasi tanpa perbicaraan penuh.

“Terima kasih kerana sikap toleransi kedua-dua pihak,” katanya.

Zuraida diwakili peguam N Surendran manakala Peguam Mohamed Nasser Yusof mewakili Jamal.

Pada 17 Novemer 2016, Zuraida memfailkan saman terhadap Jamal kerana mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di Ampang Point Mall.

Dalam pernyataan tuntutan, Zuraida mendakwa Jamal dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah mengenai diri palintif. – WD MY