SHAH ALAM, 17 Nov – HENTI….Perjuangan Wanita PKR sejak hampir 20 tahun lalu tidak akan terhenti selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri (PM) Ke-8.

Bekas Ketuanya, Zuraida Kamaruddin sebaliknya berkata, kekukuhan wanita PKR hari ini bermula dari kepayahan, dari bawah di peringkat cabang, seterusnya negeri sehinggalah ke kepemimpinan Pusat.

“Perjuangan kita tidak akan berhenti setakat PM Ke-8, tetapi sampai PM-9, 10, 11, 12 daripada PKR.

“Mana tahu mungkin PM-11 nanti adalah dalam kalangan wanita PKR,” katanya penuh semangat disusuli tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Beliau berkata demikian secara spontan selepas dijemput menyampaikan ucapan ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar Ketua Wanita PKR.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut yakin untuk melihat Menteri Besar dilantik dalam kalangan wanita.

“Pencapaian wanita mampu berada pada tahap yang lebih tinggi dari sekarang terutama yang berusia bawah 35 tahun.

“Masih ada banyak potensi diri yang kita harus gilap bersama menjadi wanita berwibawa, berilmu dan lebih berdaya berbanding 20 tahun dulu semuanya masih ‘comot-comot’,” katanya.

Calon Naib Presiden PKR itu turut melahirkan kegembiraannya melihat banyak ‘muka baharu’ bertanding pada pemilihan kali ini, sekali gus dapat memberi idea baharu kepada parti. – WD MY