ALOR SETAR, 24 MAC – TERIMA… Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM4.3 juta kepada Langkawi dan Kulim untuk membantu menambah baik keindahan, infrastruktur dan kemudahan di daerah berkenaan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata peruntukan tersebut diluluskan serta-merta dengan RM3.3 juta kepada Langkawi memandangkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA‘19) bakal berlangsung Selasa ini.

“Sebanyak RM2.8 juta diperuntukkan untuk buat pencahayaan di pulau pelancongan itu manakala RM500,000 pula adalah untuk memastikan kebersihan di Langkawi dapat dijaga dengan baik bersempena LIMA’19.

“Bagi Kulim pula, sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk buat perangkap sampah di kawasan longkang monsun manakala RM500,000 lagi adalah untuk membuat kemudahan surau, tandas dan medan selera di Stesen Bas Bandar Kulim kerana kemudahan itu tiada di situ,” katanya semalam.

Terdahulu, Zuraida mengadakan sesi perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Tan Kok Yew dan 12 Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membincangkan masalah yang dihadapi di daerah masing-masing.

Zuraida berharap peruntukan itu dapat membantu Langkawi dan Kulim menyelesaikan isu-isu yang perlu disegerakan demi kesejahteraan masyarakat setempat. – WD MY