SHAH ALAM, 12 Feb – LAWATAN…. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin akan turut menyertai Mahkamah Koroner lawatan mahkamah ke Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25.

Zuraida tiba pada jam 10 pagi di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Azmi Osman.

Selain pihak- pihak berkepentingan, Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner akan turut menyertai lawatan itu untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai lokasi kejadian.

Selain kuil, mereka dijangka akan melihat jentera pemadam (FRT) dan van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang digunakan ketika insiden rusuhan itu di kuil itu pada 27 November tahun lalu.

Insiden rusuhan itu tercetus sehingga menyebabkan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah dan menghembuskan nafas terakhirnya selepas tiga minggu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Seramai tiga saksi, terdiri seorang pegawai polis dan dua anggota bomba sudah memberikan keterangan pada hari pertama pendengaran inkues mencari punca kematian Muhammad Adib bermula semalam.

Mereka ialah Ketua Jabatan Siasatan Trafik Subang Jaya, Deputi Superintendan Mohamad Nasir Drahman dan dua anggota bomba Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor dan Ahmad Shahril Othman.

Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib. – WD MY