KUALA LUMPUR,JUN 20:PERJUANGAN…Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, menyifatkan tawarannya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini sebagai perjuangan yang bakal menempuh pelbagai ujian getir.

Ahli Parlimen Ketereh itu mengakui tidak pernah terfikir untuk bertanding jawatan nombor dua dalam UMNO sehinggalah parti hilang kuasa pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, tiada ujian lebih besar daripada apa yang sedang dialami UMNO sekarang selepas kehilangan kuasa pemerintahan setelah tujuh dekad berada di tampuk kuasa.

“Dalam tempoh 24 bulan lalu, parti keramat ini telah kehilangan naib presiden, timbalan presiden dan terbaru Presiden UMNO.

“Melihat di sekeliling saf kepimpinan parti UMNO, kini rupanya saya orang paling senior dalam parti dan berada di saf paling hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain Annuar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ahli UMNO Bahagian Pekan, Mohd Afnalizam Mohd Salim turut menawarkan diri bertanding jawatan sama.

Annuar berkata, selama ini beliau reda duduk di saf belakang penuh istiqamah dan kesetiaan walaupun sudah 31 tahun menjadi Ketua UMNO Bahagian dan 28 tahun sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Katanya, selepas 10 tahun memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau masih setia berada di bawah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen biasa.

“Saya adalah salah seorang ahli penaja UMNO (Baru), membina semula UMNO daripada runtuhan perebutan kuasa pada 1987 di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Malah, saya berselang- seli menang dan kalah bertanding di dalam PRU, namun perjuangan parti tidak pernah kendur dan pantang saya berundur,” katanya yang memegang nombor Ahli Seumur Hidup 00000124 daripada lebih 3.5 juta ahli UMNO.

Annuar turut meluahkan perasaannya terhadap rakan Kabinet sebelum ini seperti Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak dan dirinya yang kini berada di medan yang berbeza.

“Dalam situasi sebegini, apakah saya harus lari menyelamatkan diri atau cari jalan senang melepaskan beban kepimpinan ini kepada orang lain serta terus berteori dan menuding jari?

“Tidak sama sekali. Saya harus menawarkan diri, biarpun di depannya duri dan di belakangnya api, saya memilih untuk menjulang bersatu, setia, berkhidmat.

“Saya menolak berpecah, tidak setia dan tidak berkhidmat untuk membantu pucuk pimpinan dan Presiden parti dalam usaha merekayasa semula UMNO sebagai satu wadah perjuangan umat Islam, Bumiputera dan bangsa Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Annuar berkata, UMNO sambil direkayasa dan diperkasa, pintu dan jendela kepimpinannya harus dibuka luas kepada pewaris muda kerana merekalah harapan parti agar Sang Saka Bangsa terus dijulang Sang Setia yang berjuang dalam saf tersusun rapi.

Katanya, beliau sanggup bekerjasama dengan Presiden dan MT UMNO untuk memastikan perubahan dilakukan dengan penuh komitmen, cermat, tersusun dan bijaksana.

“Sebagai pembangkang, UMNO wajib berani, tegas dan tegar membela Islam, Bumiputera, kedaulatan Raja-Raja Melayu, perlembagaan dan keluhuran undang-undang.

“Roh dan falsafah UMNO akan terus dipertahankan, manakala pendekatan dan amalan wajib diubah, selain konsep dan penyertaan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) perlu disemak,” katanya.

Beliau berkata, perubahan yang perlu dilakukan bukan saja pada individu tetapi juga membabitkan dasar, organisasi, strategi dan modus operandi parti.

“Dalam situasi sebegini, apakah saya harus lari menyelamatkan diri atau cari jalan senang melepaskan beban kepimpinan ini kepada orang lain serta terus berteori dan menuding jari?-MY WD