IPOH,OGOS 7: Marina Pulau Mentagor berdekatan Pulau Pangkor, wajar diserahkan kepada kerajaan Perak untuk diuruskan bagi mengelak ia terus menjadi projek `gajah putih’.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan negeri ketika ditadbir Barisan Nasional (BN) sudah berulang kali memohon Kementerian Pengangkutan menyerahkan marina berkenaan untuk diuruskan selepas ia dilihat terbiar.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, berkata apabila Jabatan Audit Negara membangkitkan semula isu projek yang bernilai RM28 juta itu, adalah menarik untuk melihat apa tindakan kerajaan selepas ini.

“Rayuan dan permintaan kerajaan negeri (sejak tahun 2012) langsung tidak didengar. Lokasi yang dipilih itu sesuai tetapi kita pun tidak tahu kenapa permohonan kita tidak dilayan.

“Keadaannya semakin terabai termasuk pontunnya sudah mulai rosak. Mungkin kerajaan baharu boleh melihat semula atau ada idea lain mengenainya,” katanya.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang menyatakan terdapat pembaziran wang awam RM61.55 juta apabila dua marina yang dibina kerajaan sebelum ini, tidak beroperasi selepas siap dibina dan tidak pernah dikunjungi pelayar.

Menurut laporan itu, Marina Kuala Kedah tidak pernah beroperasi sejak siap dibina pada 2003, manakala Marina Pulau Mentagor di Perak, tidak mencatatkan sebarang kemasukan kapal layar sejak mula beroperasi pada 2010.

Zambry berkata, adalah menarik untuk diimbas semula siapa yang mencadangkan projek itu dan pembinaannya bermula ketika zaman pentadbiran Perdana Menteri yang mana.

Katanya, idea Kerajaan Persekutuan ketika itu ialah menjadikan Malaysia sebagai hab dan lokasi persinggahan pelayar dari seluruh dunia.-MY WD