KUALA LUMPUR, MAC 26:TIGA…Tiga Ahli Parlimen DAP diarahkan keluar Dewan Rakyat dan digantung 10 hari, bermula hari ini kerana menghina institusi Parlimen.

Mereka adalah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham; Nga Kor Ming (Taiping) dan Sivakumar Varatharaju Naidu (Batu Gajah).

Arahan itu dikeluarkan melalui pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ia susulan ketiga-tiga Ahli Parlimen pembangkang itu mengeluarkan kenyataan media yang disifatkan sebagai menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai pengerusi mesyuarat, serta mencemarkan prestij Dewan Rakyat.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen DAP itu juga enggan memohon maaf secara terbuka kepada Pandikar, sekali gus tidak menghormati kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat serta menghina Parlimen.

“Ingin saya ingatkan, semua perbuatan dan kenyataan secara bersama yang dibuat ketiga-tiga Ahli Parlimen ini adalah satu penghinaan terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi Dewan Rakyat, demikian bererti penghinaan kepada Dewan Rakyat.

“Maka, ia adalah perbuatan menghina Majlis Mesyuarat dan tidak mengendahkan kuasa Pengerusi Majlis Mesyuarat seperti dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat 44 (2).

“Justeru itu, saya memerintahkan Ahli Parlimen Beruas, Ahli Parlimen Taiping dan Ahli Parlimen Batu Gajah untuk keluar daripada Majlis Mesyuarat selama 10 hari mulai hari ini,” katanya seperti dibacakan Ronald di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 7 Mac lalu, Koo Ham, Kor Ming dan Sivakumar mengeluarkan kenyataan media secara bersama dan mendakwa Pandikar sebagai bersekutu menutup skandal rasuah kerana menolak usul berkaitan penyitaan kapal mewah Equinimity, serta soalan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat itu meletak jawatan.

Pandikar kemudian menulis surat pada 13 Mac lalu meminta ketiga-tiga Ahli Parlimen itu memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat kerana mengeluarkan kenyataan menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat, namun mereka enggan berbuat demikian.