KUALA LUMPUR, 21 Nov – TANGKAPAN…..  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata 68 Raja Dadah adalah antara 702,319 individu yang ditangkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2014 hingga Oktober tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata daripada jumlah itu, 21,731 individu adalah pengedar yang ditahan di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala kingpin (raja dadah) adalah seramai 68 orang dan warga asing adalah 27,914 orang.

“Dari segi jumlah sitaan barang-barang, hartanah dan harta pengedar dadah pula, berjumlah RM346 juta, sementara yang dilucut hak adalah RM46 juta,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen petang semalam.

Ahmad Zahid berkata, di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 pula, 3,336 orang ditahan sementara 252 orang lagi diberi status orang sekatan.

“Polis juga sudah menggeledah 106 makmal haram sepanjang tempoh itu. Tangkapan mereka yang mengembalikan operasi makmal dadah ini pula adalah seramai 409 orang.

“Dari segi kategori makmal dadah itu, 32 adalah makmal dadah mengeluarkan syabu, makmal heroin (50), makmal ecstacy (21) serta dua makmal lagi mengeluarkan erimin 5,” katanya.

Mengenai mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata enam kertas pertimbangan dan dua kertas makluman dibincangkan termasuk keberhasilan program penguatkuasaan, pendekatan baharu dalam penyelesaian masalah dadah dan penubuhan sekolah integrasi di pusat pemulihan AADK.

“Kita sedar dadah masih musuh nombor satu negara dan usaha memerangi dadah akan diteruskan sebagai tanda komitmen jitu dan bersepadu kerajaan,” katanya. – WD MY