Sampai Bila-Bilalah Malaysia Dipimpin Oleh Golongan Dinasour – Kamil
Melaka – Faktor usia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada golongan muda untuk diberi peluang memimpin dan membawa perubahan, selagi mereka mempunyai rekod khidmat serta komitmen terhadap masyarakat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata kemampuan seseorang calon tidak wajar dinilai berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pengalaman, rekod kerja dan kesungguhan berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, tanggapan golongan itu tidak mempunyai pengalaman hanya kerana usia masih muda perlu diubah bagi membuka ruang kepada lebih ramai generasi baharu dalam kepemimpinan.
“Takkan umur 60 saja ada pengalaman? Yang ini umur tak sampai 30 lagi tak ada pengalaman, jadi tak boleh kita ketengahkan?
“Kalau itulah keadaannya, maknanya sampai bila-bilalah Malaysia akan dipimpin golongan dinosour,” katanya ketika berucap pada Ceramah Kelompok di Pintu Air Klebang di sini, semalam.
Yang turut hadir calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani.
Kamil berkata, Farzana mempunyai rekod khidmat di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu menerusi aktiviti turun padang, ziarah serta membantu penduduk setempat.
Katanya, rekod kerja itu antara perkara diketengahkan beliau ketika mencadangkan nama Farzana kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun sebelum ini beliau ada pengalaman bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu di Sungai Rambai, itu pun ada lagi yang masih perlekehkan seolah-olah, ‘oh ini anak muda, tak ada pengalaman’,” katanya.
Kamil berkata, golongan muda perlu diberikan peluang membawa idea dan idealisme baharu dalam usaha membangunkan negeri serta memenuhi keperluan masyarakat.
Beliau turut mengajak pengundi menilai calon berdasarkan komitmen dan kemampuan melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

