Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di parlimen.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin pada kenyataan hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal belum lagi diperkenan baginda,” katanya.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa mat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui tedahulu dengan Takiyuddin Hassan selalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Idrus Harun, peguam negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di parlimen bagi tujuan dirungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kenyataan itu.

Menurut kenyataan Istana Negara itu, Seri Paduka Baginda sedia maklum mengenai keperluan Agong bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata Ahmad Fadhil.

Untuk rekod, tempoh darurat yang bermula pada 11 Jan lalu akan berakhir pada Ahad, 1 Ogos.

Ramai pihak sebelum ini berpendapat pembatalan tersebut dibuat secara tidak berperlembagaan.

Pengumuman Takiyuddin pada 26 Julai lalu bahawa ordinan darurat telah dibatalkan mengejutkan Dewan Rakyat.

Takiyuddin juga berkata lantaran itu, “isu pembatalan (peraturan-peraturan ordinan darurat) tidak lagi relevan.”

Berikut adalah ordinan-ordinan darurat yang diwartakan tahun ini:

  • Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021
  • Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021
  • Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]
  • Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif]
  • Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021