SUNGKAI, 3 Mei — PELABURAN……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan bersedia membawa masuk pelbagai projek pembangunan dan pelaburan asing termasuk dari Jepun ke bumi Sungkai sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai telah jauh ketinggalan di bawah pembangkang selama dua penggal.

“Sehubungan itu, saya akan pastikan kita merampas semula kerusi DUN Sungkai pada PRU14. Saya akan bantu (calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Sungkai) Datuk V.Elango membawa masuk projek-projek pembangunan ke sini.

“Kalau Elango menang, syarikat dari Jepun akan membuat pelaburan di bumi Sungkai ini,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama warga DUN Sungkai di Dewan Masyarakat Sungkai malam tadi.

 

Ahmad Zahid juga berkata jika Elango menang, beliau akan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. Sebelum ini tiada wakil India dalam barisan exco kerajaan negeri.

Elango merupakan penasihat khas masyarakat India kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Elango akan berdepan pertandingan tiga penjuru di kerusi DUN Sungkai.

Pada PRU13, A. Sivanesan daripada DAP menang di kerusi DUN Sungkai dengan majoriti 3,511 undi mengalahkan calon BN Goh Kim Swee.

Ahmad Zahid juga melahirkan penghargaan kepada bekas Anggota Parlimen Tanjong Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang telah berkhidmat selama dua penggal. Ong yang juga Setiausaha Agung MCA tidak dicalonkan untuk bertanding bagi kerusi Tanjong Malim.

“Saya amat yakin apabila BN menang di kerusi Parlimen Tanjong Malim dan tiga kerusi DUN di bawahnya, saya berjanji dalam 150 hari bermula 9 Mei, saya akan datang semula untuk mengumumkan permintaan-permintaan penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dalam sepucuk surat mengucapkan ‘selamat berjaya’ kepada kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRU14.

Sebelum itu, Ahmad Zahid hadir pada majlis pecah tanah pembinaan Dewan Komuniti India di Jalan Changkat Sulaiman, Sungkai, di sini.

Dewan yang akan menelan kos RM300,000 itu dijangka siap pada penghujung tahun depan. – WD MY