PARIT BUNTAR, 25 Mac – SELESAIKAN…… Kemelut politik bergolak sekian lama di Bahagian UMNO Bagan Serai berjaya diselesaikan dalam suasana penuh kekeluargaan oleh Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Semasa berucap pada program mesra bersama rakyat di sini, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas-tugas Timba­lan Presiden UMNO secara spontan memanggil Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat dan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali tampil ke tengah pentas untuk bersalaman.

“Dok bergaduh je…rakyat jadi mangsa tau. Sebab itu, saya satukan hati mereka hari ini. Bukan semua (yang berbalah) cuma satu dua orang sahaja. Cukuplah jadi keras macam batu (keras kepala).

“Yang penting rakyat Bagan Serai dan rakyat Parit Buntar mesti dipimpin Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen BN (Barisan Nasional),” katanya pada program itu di Dataran Kerian Permai.

Kira-kira 3,000 anggota UMNO dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) menghadiri program tersebut.

 

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri membangkitkan perkara itu selepas Noor Azmi dan Sham dikatakan bersengketa dan ia dilihat memberi kesan tidak baik di peringkat UMNO Bagan Serai menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Difahamkan, perbalahan Sham yang juga ADUN Alor Pongsu dan Noor Azmi bermula selepas PRU13 sehingga menunjukkan persengketaan mereka secara terbuka.

Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN mahukan semua pemimpin parti negeri supaya bersatu hati bagi memastikan kerajaan negeri Perak yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terus diperkukuhkan di bawah panji-panji BN.- WD MY