BAGAN DATUK, 2 Mei –  KENAL PASTI….. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti jenis senjata dan beberapa kelongsong peluru yang digunakan oleh dua suspek dalam kes pembunuhan imam dan pensyarah dari Palestin, Dr Fadi M R Albatsh di ibu negara bulan lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis juga telah mengenal pasti penyewa sebenar motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys yang digunakan oleh suspek serta inap desa yang disewa oleh mereka.

“Cuma, kita masih belum menerima laporan terperinci mengenai perkara tersebut, namun sudah memperoleh beberapa bukti baharu antaranya jenis senjata dan kelongsong peluru yang digunakan oleh suspek.

“Saya berharap pihak Jabatan Siasatan Jenayah meneruskan siasatan dan dapat menjejaki kedua-dua suspek utama dalam kes berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid bercakap kepada media selepas Majlis Kenduri Kampung Peluasan Skop Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) – Program Menghubung Menyatu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Parlimen Bagan Datuk di Kampung Pasang Api semalam. – WD MY