BAGAN DATUK, 5 Mei β€” TERAKHIR…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjadi pentas pertama dan terakhir untuk Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berkata bekas perdana menteri itu tidak mampu kerana faktor usianya yang mencecah 93 tahun dan juga faktor kesihatan.

β€œDia (Dr Mahathir) boleh bercakap apa sahaja… Kita dalam BN akan pastikan inilah kali pertama dan terakhir buat Dr Mahathir untuk bertanding di bawah tiket pembangkang dan PPBM,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Semalam, Dr Mahathir yang juga calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Langkawi, dalam satu sidang akhbar di Putrajaya berkata beliau akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam PRU14.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata tindakan tegas akan diambil terhadap semua anggota UMNO yang bertindak mengkritik, menghentam dan berpaling tadah daripada UMNO pada ceramah pembangkang. -WD MY