KLUANG, 13 April – HATI-HATI….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fitnah pembangkang dan penyebaran berita palsu yang dikitar semula pada saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahmad Zahid berkata, serangan ‘bom fitnah’ oleh pembangkang serta berita palsu pernah dilakukan pada PRU-13.

Justeru, katanya, rakyat perlu bersiap-siaga dengan taktik licik pembangkang itu yang bertujuan menanam kebencian terhadap Barisan Nasional (BN).

“Awas ini permainan politik licik pembangkang. Saya harap kita semua tidak terjebak dan terpengaruh kerana selama ini kita sudah cukup banyak dimomokkan dengan pelbagai berita palsu yang diulang-ulang.

“Nasihatkan juga semua rakan di media sosial, di kedai kopi dan di mana saja supaya jangan sesekali terpedaya dengan ‘bom fitnah’ yang akan dilemparkan pembangkang sebagai serangan saat akhir kerana mereka menunggu pada saat terakhir untuk bertindak.

“Taktik licik ini tidak lain hanya untuk mengelirukan serta mengaburi mata rakyat sehingga sanggup menggunakan pemimpin warga tua yang tiada nilai lagi untuk mencapai matlamat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa 5, Penyampaian Sijil Tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Daerah Kluang, Pelancaran Taman Tamadun Islam, Pelan Pembangunan Kampung Paya dan Dewan Masyarakat India di Tapak Pasar Malam, Batu 3, Jalan Mersing, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Jamek Kampung Bentong dekat sini.

Ahmad Zahid berkata, taktik pembangkang yang digunakan pada saat akhir itu bertujuan menimbulkan kebencian rakyat.

“Akan ada ‘bom’ pada saat akhir supaya rakyat percaya dengan mereka. Kita kena siap siaga dari sekarang supaya jangan terpedaya dengan serangan mengejut di saat akhir (SLMA) yang akan dilemparkan kepada kita.

“Contohnya, pada PRU-13 mereka dakwa kerajaan bawa masuk 40,000 pendatang tanpa izin Bangladesh. Mana mungkin kita bawa masuk, pembangkang kata BN tipu. Itu serangan di saat akhir yang digunakan pada PRU-13,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kaji selidik serta kajian mendapati timbul kesedaran baharu pengundi Cina dan India di seluruh negara terhadap keperluan mempunyai wakil rakyat BN kerana hanya mereka mampu memberi perkhidmatan terbaik.

Katanya, ia terbukti daripada Manifesto BN pada PRU-13 apabila 99.4 peratus aku janji berjaya dilaksanakan. Ini membuktikan BN adalah parti politik cemerlang di negara ini.

“Bukan seperti di negeri pembangkang, pemimpin dapat air, rakyat dapat baldi. Nak mandi pun susah, nak minum pun tidak dapat.

“Jangan jadi seperti pembangkang yang hanya jadikan kawasan ditandingi sebagai transit saja. Setiap kali musim PRU, mula cari kebun buah yang baharu.

“Saya ingin tegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kluang, Mengkibul dan Mahkota bukan tempat transit, rakyat akan tolak calon transit,” katanya. – WD MY