SUNGAI PETANI, 5 Mei – PERUNTUKAN…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan peruntukan kemudahan berjumlah RM25 juta kepada penduduk Parlimen Sungai Petani serta tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kesemua kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata daripada jumlah itu, peruntukan RM10 juta dikhaskan kepada Parlimen Sungai Petani untuk pembinaan dewan berkapasiti 2,000 orang serta kompleks sukan rakyat untuk kemudahan penduduk di sini.

Beliau berkata selain itu, sejumlah RM5 juta akan diberikan masing-masing kepada DUN Pantai Merdeka, Bakar Arang dan Sidam.

“Saya kasihan dengan pengundi Sungai Petani terutamanya (malam ini) datang di dalam khemah dan luar khemah, yang terpaksa berkipas-kipas. Kalau ada dewan besar, tak payah kipas-kipas lagi, ada aircond. Alangkah bagusnya.

“Ini bukan janji, bukan manifesto, kalau menang Parlimen Sungai Petani kepada BN, kalau Shahanim (Datuk Shahanim Mohamad Yusoff) menang pasti (kerajaan) lakukan dua perkara itu (dewan dan kompleks sukan rakyat), manakala ketiga-tiga DUN itu juga akan dapat kemudahan,” katanya ketika berucap pada program bersama rakyat malam tadi.

Ahmad Zahid berkata selain itu beliau akan membantu Shahanim merealisasikan manifesto calon wanita itu jika BN berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Sungai daripada pembangkang pada pilihan raya umum itu nanti.

Beliau berkata antara intipati manifesto calon wanita itu yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah memastikan sifar rumah uzur di Sungai Petani, mewujudkan Pusat Transformasi Industri Desa dan Usahawan Wanita, Tabung Bencana Khas dan sekurang-kurangnya sebuah sekolah berasrama penuh.

“Semua ini kita akan pastikan dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana kerajaan kita tidak bankrap hasil pengurusan kewangan yang diuruskan dengan baik, oleh itu kerajaan bersedia berikan kemudahan kepada rakyat sama ada dalam bandar dan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata BN memerlukan kemenangan di Parlimen Sungai Petani dan ketiga-tiga DUN itu dalam usaha menyumbang ke arah kemenangan majoriti lebih besar sekali gus memperkukuhkan kerajaan BN di Putrajaya.

Beliau berkata ini bertujuan memastikan kerajaan dapat melaksanakan lebih banyak lagi kemajuan dan pembangunan di Kedah, malah di seluruh negara.

“Pada waktu sama di Alor Setar dan Kedah kemenangan calon BN terus memperkukuh kerajaan BN agar kebih banyak kerusi dipertahankan dan dirampas (di Kedah) untuk kepentingan rakyat,” katanya. – WD MY