BATU PAHAT, 25 April – ZIARAH…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluangkan masa menziarahi Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz di kediamannya di Parit Raja, dekat sini.

Beliau yang tiba kira-kira 1.10 tengah hari itu disambut Mohamad dan isterinya Puan Sri Azizah Zakaria dan meluangkan masa kira-kira sejam dengan mereka.

Ahmad Zahid turut dihidangkan makan tengah hari dengan menu istimewa ‘nasi ambeng’ makanan tradisi masyarakat Jawa negeri Johor.

Turut mengiringi Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd serta beberapa orang pemimpin politik setempat.

Mohamad, 78, yang juga bekas Anggota Parlimen Sri Gading, selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur, Februari lepas. – WD MY