JOHOR BAHRU, 2 FEB – RANCANG….Kerajaan PH negeri sudah ada perancangan untuk tidak lagi bergantung pada Singapura bagi pembekalan air terawat kepada Johor.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata perancangan itu bagaimanapun masih pada peringkat awal dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Mengenai isu air dengan Singapura, saya ingin memberi pencerahan bahawa sudah ada perancangan untuk kita tidak lagi bergantung pada republik itu untuk mendapatkan sumber air terawat yang kita beli daripada mereka selama ini.

“Namun, perkara ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan saya tidak dapat kongsikan butirannya buat masa ini sehingga perancangan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beliau turut berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup sesi Pemukiman Kerajaan Johor bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Menteri Kabinet di Putrajaya.

Mengenai sesi pemukiman itu pula, Osman berkata, progam dua hari berkenaan berjaya mencapai objektif penganjurannya.

“Program ini secara keseluruhan berjaya meningkatkan tahap kerjasama antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

“Banyak idea dan pandangan bernas dilontarkan oleh barisan kepemimpinan Johor dan anggota pentadbiran Persekutuan,” katanya. – WD MY