WASHINGTON DC, 9 Okt – Amerika Syarikat (AS) memuji serta menyokong inisiatif
Malaysia untuk mewujudkan sebuah pusat digital serantau bagi mengekang pengaruh
dan propaganda kumpulan pelampau melalui laman media sosial.

Selain menyatakan sokongan, negara itu juga bersetuju untuk berkongsi sistem
pangkalan data yang mempunyai maklumat kira-kira 86,000 orang yang disyaki
pengganas yang diuruskan oleh Pusat Saringan Pengganas di sini.

Setiausaha Negaranya, John Kerry menyatakan sokongan Washington terhadap
cadangan penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi
ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi di sini pada Khamis.

“Amerika memberi komitmen untuk membantu (penubuhan pusat itu di Kuala
Lumpur) dalam aspek latihan, peralatan dan kaedah operasi,” kata Ahmad Zahid.

Pertemuan kedua-dua pemimpin itu diadakan selepas mereka menandatangani
dokumen Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6) di Jabatan
Negara di sini.

HSPD-6 adalah dokumen yang perlu ditandatangani oleh negara bagi menyertai
Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat. Malaysia merupakan negara ke-39
berbuat demikian.

Ahmad Zahid berkata AS amat prihatin dengan usaha Malaysia yang kini
Pengerusi ASEAN untuk menubuhkan pusat tersebut memandang mesej dakyah kumpulan
militan IS begitu berpengaruh.

Tambah Menteri Dalam Negeri itu, sehingga 87 peratus daripada individu yang
terbabit dengan IS adalah melalui komunikasi media sosial.

IS adalah kumpulan militan radikal yang beroperasi di Iraq dan Syria. Asal
IS adalah Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Iraq atau ISIS di Syria.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY