KUALA LUMPUR, 29 Mac – Untung…. Pihak Astro Malaysia Holdings Bhd mencatat untung bersih RM623.683 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Januari 2017.

Ia mewakili peningkatan satu peratus berbanding RM615.31 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Keuntungan itu diraih daripada pendapatan yang meningkat dua peratus kepada RM5.612 bilion.

Susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dalam tahun dikaji menurun enam peratus tahun-ke-tahun kepada RM1.8 bilion ekoran pelaburan yang dibuat ke atas acara sukan terhebat tahun lalu, selain penyusutan nilai mata wang yang memberi kesan kepada kos kandungan secara keseluruhan.

Aliran tunai bebas (FCF) kumpulan itu bernilai RM1.3 bilion bagi membolehkan dividen interim keempat dicatatkan pada kadar tiga sen sesaham dan dividen akhir sebanyak 0.5 sen sesaham.

Sementara itu, pangkalan data pelanggan Astro dalam tahun dikaji meningkat kepada 5.1 juta daripada 4.8 juta sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rohana Rozhan, berkata kekuatan Astro melaksanakan promosi merentasi TV, radio dan platform digital menyumbang ke arah peningkatan perbelanjaan pengiklanan (Adex).

Beliau berkata, jumlah keseluruhan Adex meningkat 10 peratus tahun-ke-tahun kepada RM705 juta, yang mana Adex digital mencatat peningkatan 15 peratus.

Nilai pertumbuhan Adex TV dan perbelanjaan radio (Radex) katanya, dilihat begitu memberangsangkan dengan masing-masing meningkat 38 peratus dan 73 peratus.

Rohana berkata, pihaknya menyasar meraih pendapatan melepasi paras RM6 bilion dalam tahun kewangan semasa yang akan berakhir 31 Januari 2018, dengan peningkatan dilihat merentas produk yang ditawarkannya. – WD MY