KUALA LUMPUR, 3 Mac – Yang Dipertua Bakti Datin Seri Rosmah Mansor berkata
Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti)
membelanjakan RM2.47 juta bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program kebajikan di seluruh negara
sepanjang 2014.

Menuru beliau, selain bantuan dan program kebajikan, Bakti turut menyumbang bantuan RM5,000 untuk setiap
pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang memerlukan bantuan kewangan.

“Bakti turut memberi bantuan seperti motosikal OKU (orang kurang upaya),
membiayai kos rawatan dialisis, bantuan kos ubat-ubatan dan sebagainya,” katanya
ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Bakti Ke-38 di Bangunan
Bakti Siti Hasmah, di sini, hari ini.

Mesyuarat dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Turut hadir Isteri Timbalan Perdana Menteri yang
juga Naib Dipertua Bakti Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Rosmah berkata sebanyak RM178,200 juga telah dikhususkan untuk membantu
rakyat di negara ini yang ditimpa kebakaran, banjir, ribut, kemalangan dan tanah
runtuh.
Tambahnya, Bakti yang sentiasa peka dengan perkembangan dunia luar turut
menghulurkan sumbangan kemanusiaan berbentuk kewangan berjumlah USD50,000 kepada
rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan USD50,000 kepada rakyat Sierra Leone
yang ditimpa musibah penyakit Ebola baru-baru ini.

Rosmah berkata Bakti juga telah membelanjakan sejumlah RM1.2 juta
untuk memberi manfaat kepada 2,006 pelajar dari seluruh negara yang memerlukan
bantuan dan sokongan kewangan di bawah Program Dermasiswa.

Jelasnya, Program Dermasiswa merupakan satu inisiatif murni Bakti bagi
membantu pelajar yang kurang berkemampuan mencapai taraf pembelajaran yang lebih
baik sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.- Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY