SEREMBAN, 6 Feb — Sejumlah 184 mangsa dipindahkan ke dua buah
pusat pemindahan sementara di Gemenceh dan Air Kuning Selatan, Gemas, setelah
rumah mereka dinaiki air kira-kira 1.2 meter berikutan hujan lebat berterusan
sejak petang semalam.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam
Khamis, kesemua mangsa dipindahkan pada pukul 12 tengah malam tadi selepas
pihaknya menerima panggilan kecemasan.

Anggota dari Balai Tampin membantu memindahkan 80 mangsa yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Datuk Mohd Taha di Gemenceh manakala anggota dari Balai Gemas pula
memindahkan 100 mangsa dari Air Kuning Selatan yang ditempatkan di balai raya
Kampung Parit Buloh.

“Pada pukul 7 pagi tadi, kami memindahkan empat orang daripada sebuah
keluarga di Air Kuning Selatan ke pusat penempatan sementara,” katanya.

Dalam pada itu, Norazam menasihati penduduk supaya segera berpindah ke pusat
penempatan sementara sekiranya hujan lebat berterusan yang dikhuatiri akan
menyebabkan berlakunya banjir kilat.

“Di pusat penempatan sementara, Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu
menyediakan makanan dan keperluan lain,” katanya.- Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY