KUALA LUMPUR, 27 April – Keuntungan pracukai Digi.Com Bhd susut
kepada RM626 juta pada suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2015 berbanding
RM654.54 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pendapatan,
bagaimanapun, meningkat kepada RM1.79 bilion daripada RM1.72 bilion, sebelum
ini.

Keuntungan bersih pada suku tersebut turun 1.2 peratus kepada RM479.21 juta
daripada RM485.15 juta yang dicatatkan setahun lepas, disebabkan jualan peranti
lebih tinggi secara berkala dan kesan margin yang rendah, menurutnya.

Digi menjelaskan ia akan membayar dividen dikecualikan cukai interim pertama
6.1 sen bagi setiap saham biasa bersamaan dengan RM474 juta atau 99 peratus
nisbah pembayaran kepada pemegang saham pada 5 Jun, 2015.

Sepanjang tempoh suku berkenaan, Digi mencatatkan pertumbuhan pelanggan yang
teguh, mengukuhkan pangkalan penggunanya sebanyak 270,000 kepada 11.7 juta,
manakala langganan pasca bayar meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tiga
tahun.

Syarikat telekomunikasi itu berkata peningkatan jumlah pelanggan internet,
yang berkembang pantas sebanyak 30.6 peratus kepada lebih daripada 6.6 juta
pengguna pada akhir suku pertama, akan memberi peluang kepada pendapatan
perkhidmatan masa depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Digi Albern Murty berkata kumpulan itu mencapai
kemajuan kukuh dalam membawa perkhidmatan internet berkualiti kepada lebih ramai
penduduk Malaysia di seluruh negara dijana oleh kemajuan ketara dalam prestasi
rangkaian dan liputan mereka, serta pertambahan rangkaian telefon bimbit pintar
mampu milik yang luas termasuk pilihan di bawah RM200 dan tawaran khidmat
digital berinovasi.

“Usaha ini membantu memacu pertumbuhan berterusan dalam penerimaan internet,
dan menggalakkan pemilikan lebih daripada satu peranti yang dilengkapkan dengan
internet,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Kumpulan itu berkata perbelanjaan modal bagi suku berkenaan sebanyak RM193
juta meliputi jaringan yang telah dirancang dan pengembangan prasarana untuk
liputan 3G dan Evolusi Jangka Panjang (LTE) masing-masing kepada 86.4 peratus
dan 33.3 peratus.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY