BALING,OKTOBER 21: PENDAPATAN… Hujan lebat bermula September hingga kini menyebabkan akaun penoreh getah ‘beku’ dan ada antara mereka terpaksa berhutang.

Penoreh, Jaria Syukri, 46, berkata, hampir dua bulan dia masih belum memperolehi hasil menoreh.

Menurutnya, cuaca tidak menentu menghalang penoreh turun ke kebun.

“Langsung tak boleh menoreh musim hujan ini. Jika ada hasil pun, air hujan pun penuh dalam bekas motong.

“Getah akan jadi kerak, dah macam cucur udang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui kelmarin.

Katanya, menoreh dalam keadaan pokok lembab membawa risiko kepada kematian kulit pokok.

“Contoh kita menoreh juga waku tengah hari, kulit pokok akan mati dan susu selepas itu takkan dapat lagi.

“Saya tengok musim hujan ini waktu hujan tak turun waktu tengah hari, penoreh pergi juga menoreh,” katanya.

Menurutnya, tindakan penoreh menggunakan ubat serta cuka akan mempercepatkan lagi pokok berkenaan mati.

Situasi sama dihadapi penoreh, Mat Nor Mansor ,45, yang tidak dapat menoreh getah selama dua bulan.

“Pendapatan saya memang bergantung sepenuhnya dengan menoreh pokok orang,” katanya.

Mat Nor berkata, menghampiri Disember, dia runsing untuk mencari duit bagi membeli pakaian persekolahan untuk tiga anaknya.

“Seorang Tahun Satu, Lima dan Tingkatan Satu. Sekarang ini dah fikir cari duit beli baju depa untuk tahun depan.

“Zaman sekarang ada RM1,000 belum cukup nak sedia kelengkapan lengkap untuk tiga anak.

“Tahun lepas, pakaian sekolah dan kelengkapan anak saya beli seorang sepasang saja,” katanya.

Mat Nor berkata, kesengsaraan hidup sebagai penoreh turut dikongsi kepada anak-anaknya.

Katanya, seawal umur mereka tujuh tahun, dia akan membawa mereka ke kebun getah untuk membantunya mengutip hasil getah.

“Saya bawa depa mai hari cuti saja, kita nak anak-anak rasa macam mana kesengsaraan ayah cari rezeki untuk keluarga.

“Alhamdulillah anak-anak faham keadaan ini,” katanya.

Penoreh, Anuar Abdullah, 48, berkata, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) juga tidak dapat menampung keperluan penoreh.

“Saya dah pi empat kali dari tahun sebelum ini lagi, tapi tak pernah dapat.

“Bila pergi buat tuntutan di Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Sungai Petani macam-macam la kena buat. Pi hari lain kena buat lain pula,” katanya.

Pekebun kecil, Mohd Sazli Ibrahim,49, berkata, karenah birokrasi agensi terbabit menyebabkan ramai tidak dapat menuntut BMT.

“Bila tuntut, jumlah kilogram hasil getah kena sama dengan keluasan tanah kebun,” katanya.

Menurutnya, LGM disaran membuat bayaran secara terus kepada kedai berlesan.

“Jadi orang yang jual getah di kedai itu, duit akan terus dapat. Tak payahlah suruh orang bawa surat salinan geran dan kad penoreh, gambar untuk tuntut di Pejabat LGM, Sungai Petani

Sazli berkata, dalam lima kali tuntutan kepada LGM, hanya RM80 diluluskan.

“Saya minta lima kali dapat RM80 saja, ulang alik pi Sungai Petani. Kerajaan kena tengok masalah ini,” katanya.-MY WD