SHAH ALAM, SEPTEMBER 7: GAJI MINIMUM…Kerajaan PH sepatutnya memperkenalkan kadar gaji minimum pertama di bawah pentadbiran mereka sebanyak RM1,200.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, paras gaji berkenaan adalah paling sesuai dan realistik, namun, kerajaan PH dilihat telah tunduk kepada kehendak majikan dan tidak memihak kepada pekerja.

Menurutnya, kerajaan perlu mengimbangi kepentingan majikan dan pekerja.

“Kalau paras terlalu tinggi, boleh menjejaskan kedudukan majikan.  Kalau terlalu rendah, nasib pekerja tidak dijaga.

“Namun, pengumuman kerajaan bahawa gaji minimum terbaru adalah RM1,050 mengecewakan,” katanya menerusi perkongsian di twitter miliknya, pagi ini.

Khairy menegaskan lagi, gaji minimum diperkenalkan oleh pentadbiran BN yang ketika itu di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Selaku ketua pemuda Umno pada masa itu, saya juga turut memperjuangkan gaji minimum sehingga dilaksanakan.

“Isu gaji minimum sangat rumit sebab melibatkan majikan dan pekerja,” katanya.-MY WD