KUALA LUMPUR, OGOS 7: KERAJAAN PH…Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat kesilapan besar apabila ingin melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata secara praktikal GST lebih efisien.

Malah katanya jika isu ketirisan yang menjadi masalah besar, Ameer berkata pelaksanaan SST lebih banyak membuka ruang untuk itu berbanding GST.

Sebagai seorang ahli perniagaan, Ameer turut berpendapat, langkah betul yang perlu diambil kerajaan HARAPAN bukanlah menggantikan GST sebaliknya menurunkan kadar yang ditetapkan.

“Misalnya rendahkan kepada dua atau tiga peratus berbanding enam peratus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya perkara berkenaan tidak akan berlaku memandangkan HARAPAN sebelum ini telah pun berjanji kepada rakyat untuk menghapuskan GST.

“Saya rasa kerajaan akan membuat kesilapan besar dalam dunia. (Laksanakan SST) ini kesilapan, ini ego, sebab mereka ini orang politik.

“Mereka dah buat janji dan kena tepati janji, kalau tidak rakyat marah pula. Saya rasa itu masalahnya,” kata Ameer dalam temu bual eksklusif dengan portal berita tempatan baru-baru ini.-MY WD