KUALA LUMPUR, 29 JULAI – KECAM…..Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Ryan Ho mengecam Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menggelar parti itu “Malaysian Corruption Association”(Persatuan Rasuah Malaysia).

Ho menuduh Lim turut mengeluarkan kenyataan lain berbaur fitnah dan menghina MCA, termasuk parti itu mengabaikan skandal 1MDB, menyokong ekstremisme dan tidak menyokong sekolah vernakular.

“Ia tidak mengejutkan beliau membuat kenyataan menghasut tersebut, kerana PH berjaya menjadi kerajaan berdasarkan penipuan dan janji palsu, dan seperti yang dibuktikan, beliau tidak layak sebagai menteri kewangan kerana tidak mampu mengira dengan betul,” kata Ho dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Ho, sekolah vernakular Cina hari ini merupakan hasil usaha MCA.

“Hanya selepas PH menjadi kerajaan barulah SJKC diserang dan diancam.

“Malah, anggota parti DAP Teo Nie Ching, yang juga timbalan menteri pendidikan, mewajibkan pelajaran membaca dan menulis Jawi di semua sekolah.

“Oleh itu, siapakah sekarang yang mahu menghapuskan sekolah vernakular? DAP atau MCA?” soalnya lagi.

Pemimpin Pemuda MCA itu juga mendakwa Lim cuba mempengaruhi perjalanan perbicaraan 1MDB.

“MCA sentiasa berpendirian bahawa sesiapun yang didakwa membuat rasuah, tanpa kira dari BN atau PH, haruslah melalui proses undang-undang dan jika didapati bersalah, harus dikenakan hukuman sepertimana yang tertakluk dalam undang-undang,” katanya.

Ho juga menggesa Lim supaya melakukan “penyelidikan” mengenai pendirian MCA dalam skandal 1MDB.

Beliau juga membangkitkan keputusan Peguam Negara untuk mendapatkan pelepasan terhadap kes rasuah Lim sendiri yang didakwa membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran.

“Amat mengecewakan bahawa menteri kewangan masih membohong dan memfitnah.

“Sudah cukuplah YB, sudah sampai masa anda menghadapi kenmyataan,” katanya.

Ho dijangka membuat laporan polis terhadap kenyataan Lim, yang didakwa diucapkan semasa Konvensyen Kelab Veteran DAP Kebangsaan Kelima di Butterworth semalam. – WD MY