KUALA LUMPUR, MEI 31:HAPUS…Kos menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja mengurangkan hasil pendapatan tahunan yang dikutip daripadanya, tetapi turut menjejaskan projek yang dibiayai hasil daripada kutipan cukai berkenaan.

Pengarang bersekutu Singapore Straits Times, Vikram Khanna, dalam ulasannya bertajuk ‘GST Malaysia-mangsa politik populis’ mendedahkan projek yang terbabit adalah termasuk sekolah, hospital, jalan raya dan perkhidmatan awam lain seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

“Malaysia mungkin juga perlu menaikkan caj pengguna untuk sistem rel transit Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), yang sebelum ini pada kadar rendah hasil sokongan daripada pendapatan GST,” katanya.

Beliau berkata, walaupun harga minyak mentah hari ini kira kira-kira AS$80 setong mampu memberi beberapa kelonggaran fiskal dalam jangka pendek, pendapatan berasaskan minyak adalah berubah-ubah dan tidak menentu.

“Malaysia tidak boleh bergantung kepada sektor ini untuk jangka panjang.

“Selepas GST dimansuhkan, kerajaan akhirnya akan memerlukan cukai baharu – sama ada ke atas pendapatan atau keuntungan modal, atau caj pengguna yang lebih tinggi. Kesan negatif terhadap ekonomi cukai ini juga perlu diambil kira dalam kos pemansuhan GST,” kata Vikram.

Beliau berkata, satu sebab timbulnya persepsi bahawa GST menimbulkan kos sara hidup adalah ilusi optik, hakikatnya GST adalah jelas dinyatakan dalam invois, sedangkan SST tersembunyi kepada pengguna.

“Walaupun mereka sebenarnya membayar cukai berkenaan (SST), ramai daripada mereka tidak menyedari bahawa mereka berbuat demikian. Sebab lain adalah bahawa beberapa perniagaan yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga apabila GST diperkenalkan lebih daripada liabiliti cukai tambahan mereka, menyalahkan GST untuk kenaikan itu,” kata Vikram.

Beliau berkata, GST juga menjadi “kambing hitam” bagi isu-isu lain seperti skandal kewangan yang berkaitan contohnya, Felda Global Ventures dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Dalam pemikiran pengundi, isu-isu berkaitan seperti GST dilihat sebagai cara untuk mendapatkan semula pendapatan yang hilang kerana salah tadbir urus dan rasuah. Apa yang berlaku sebenarnya adalah cukai telah tercemar dan dipolitikkan,” kata Vikram.

Beliau menegaskan bahawa ia memerlukan beberapa tahun paksaan politik untuk Malaysia melaksanakan GST.

Perniagaan juga mengalami tempoh yang sukar untuk menubuhkan sistem dan proses untuk mematuhi cukai baharu itu.

“Hakikatnya, GST telah membantu Malaysia berbanding cukai lain. Ini adalah salah satu langkah fiskal terbaik yang pernah berlaku di negara ini.

“Menamatkannya agak mudah. Tetapi sekarang ada bahagian yang sukar – kerajaan baru mempunyai tugas sukar untuk menguruskan kewangan Malaysia tanpa GST – dan tanpa langkah pendapatan alternatif yang dapat disesuaikan dengannya,” katanya.-MY WD