HARI IBU BAPA

HARI IBU BAPA

2081
0

KANGAR,JUN 26:KERAJAAN….Kerajaan bercadang menjadikan Ahad minggu pertama Julai setiap tahun sebagai Hari Ibu dan Bapa bagi peringkat kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, berbanding sebelum ini, kedua-dua hari berkenaan diadakan secara berasingan.

Kata beliau, sambutan itu sebagai menghargai komitmen ibu bapa dalam mendidik serta membesarkan anak-anak.

“Kesungguhan dan komitmen inilah yang membentuk keluarga yang bahagia dan sejahtera,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, semalam.

Wan Azizah berkata demikian ketika berucap dalam majlis pe­rasmian Sambutan Hari Ibu dan Bapa peringkat kebangsaan bertemakan Ibu dan Bapa Anugerah Terindah yang dihadiri lebih 1,000 ibu dan bapa dari seluruh negara.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Pe­rempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat mencemar duli menghadiri majlis tersebut.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Nor Aswana Omar serta Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Ahmad.

Wan Azizah berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat perbincangan kementerian dan akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.-MY WD