KUALA LUMPUR,JUN 24:KELAHIRAN… Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Zauyah Zainuddin dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO bahagian itu pada pemilihan mesyuarat perwakilan bahagian, di sini, semalam.

Beliau menewaskan penyandang, Datuk Salmah Pin.

Naib Ketua Wanita UMNO bahagian pula dimenangi bekas Ketua Puteri bahagian, Sharifah Aminah Syed Mohssain.

Timbalan Pengerusi Tetap Puteri UMNO Bandar Tun Razak, Syarifah Munirah Syed Mohssain pula dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO bahagian selepas menewaskan pencabarnya, Mas Zaidatul Syazana Abd Khalid.

Bagi sayap Pemuda, tiada pertandingan diadakan kerana Ashrul Ashryzal Mohd Nashri dan Mohd Riziqin Hillan masing-masing menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian.

Majlis perasmian mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap itu dirasmikan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Rizalman Mokhtar.

Sementara itu, Rizalman dalam ucapannya berkata, pemilihan barisan kepemimpinan hari ini dianggap sebagai hari ‘kelahiran’ semula UMNO baharu.

Katanya, semua calon bertanding pada pemilihan kali ini adalah terbaik dan yang menang bakal menggalas tanggungjawab berat kerana UMNO ketika ini bukan lagi parti yang memerintah negara.

“Apapun, terimalah keputusan pemilihan ini dengan hati terbuka dan teruslah setia berjuang dengan UMNO demi agama, bangsa dan negara.

“Diharapkan barisan kepemimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bandar Tun Razak yang dipilih kali ini mampu mencetuskan kebangkitan untuk kelahiran UMNO baharu yang dapat memenuhi kehendak rakyat,” katanya.-MY WD