KUALA LUMPUR,JUN 19: PERBAHARUI….Calon Ketua Puteri UMNO, Nor Hazreena Mohamad berikrar membawa agenda pembaharuan dan pembersihan dalam UMNO jika diberi mandat mengemudi sayap pergerakan itu.

Katanya, apa yang bakal diketengahkan bukan sekadar cakap kosong, sebaliknya beliau komited mahu mengubah peranan Puteri UMNO sebagai satu medan suara yang digagaskan untuk membawa perjuangan wanita muda.

Justeru, beliau berkata, peranan Puteri UMNO perlu ditingkatkan untuk memartabatkan kembali UMNO yang menjadi agenda bakal direalisasikannya menerusi satu revolusi akan direncana daripada lima tonggak utama berlandaskan agama, bangsa dan tanah air.

“Saya menekankan satu revolusi urus Puteri UMNO supaya lebih cekap dan efisien dan sampai kepada golongan sasaran merangkumi akar umbi.

“Selain itu, saya mahu memantap dan menerapkan pemahaman ideologi politik ke dalam jiwa Puteri UMNO dalam usaha memperkasa jati diri mereka,” katanya.

Nor Hazreena berkata, orang muda juga perlu diperhebatkan pembabitan mereka dalam bidang sosioekonomi bagi menggalakkan dan melahirkan usahawan Melayu yang lebih berdaya saing, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup orang Melayu.

“Tonggak keempat, pembudayaan ilmu perlu dirai dan disemarakkan sebagai siap siaga Puteri UMNO menghadapi perang persepsi, selain bergiat aktif memerhati dan memantau pencapaian kerajaan dalam kerangka urus tadbir yang baik.

“Kelima, pemerkasaan dan pemantapan rohani sangat penting dalam keberkatan perjuangan dunia dan akhirat ini. Agamawan akan terus dihormati dan teguran serta pedoman mereka harus dihayati sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, EXCO Puteri UMNO itu berharap peluang dapat diberikan kepada muka baharu dengan pendekatan lebih segar dan bertenaga bagi merapatkan kembali roh perjuangan UMNO dengan rakyat.-MY WD