KUALA LUMPUR, OGOS 9: Kehadiran Datuk Seri Najib Razak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diuruskan sendiri oleh calon Barisan Nasional (BN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semakan beliau mendapati ia adalah atas inisiatif calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

“Saya semak dan calon sendiri (Lokman) atur kehadiran (Najib) dan tentulah calon berniat baik.

“Kita harus bersikap bahawa jika seseorang sahabat itu kini jadi miskin dulu kaya atau dulu berkuasa kini tidak, mereka harus dihormati.

“Dalam keadaan itu, kalau berbeza pendapat pun, ada kaedah sahsiah yang baik untuk kita satukannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang mencadangkan supaya Datuk Seri Najib Razak ‘direhatkan’ daripada kempen pilihan raya kecil.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sahabat tidak harus ditindas hanya kerana tidak lagi berada di kedudukan yang lalu.

“Janganlah memijak kepala seseorang apabila tengkuknya berada di bawah pinggang’.

“Dalam keadaan itu, kita harus mempunyai kaedah tasawuf walaupun kita tak setuju dalam beberapa langkah yang dilakukan,” katanya.-MY WD