KUALA TERENGGANU, SEPTEMBER 27:HUKUM… “Takkanlah marahkan nyamuk, kelambu dibakar?” Demikian reaksi  Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi  Kuala Terengganu, Satiful Bahri Mamat berhubung cadangan kerajaan untuk menutup pusat tahfiz yang pemilik atau pengetuanya terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap pelajar.

Menurut Satiful Bahri, dalam kes seperti itu yang bersalah adalah peribadi individu itu sendiri sama ada dia bergelar guru, pengetua mahupun pemilik pusat tahfiz.

Atas dasar itu katanya, warga pusat tahfiz secara keseluruhannya termasuk tenaga pengajar, pelajar dan orang persendirian yang menderma untuk operasi pusat tahfiz tidak sepatutnya menerima kesan atas perbuatan keji individu terbabit.

“Kenapa apabila ada kes orang mati sebab minum arak, kerajaan tak arah kilang arak ditutup, tetapi sebab satu kes gangguan seksual di pusat tahfiz, kerajaan nak arah pusat tahfiz ditutup? Kalau berlaku kes liwat di balai polis adakah kerajaan akan tutup balai polis?

“Dalam isu seperti ini, yang bersalah adalah seorang individu, tidak kiralah pemilik, pengetua atau guru pusat tahfiz dan kita pun tidak bersetuju dengan perbuatan tidak bermoral.

“Tapi mana boleh apabila berlaku kes sebegini terus nak tutup pusat tahfiz. Habis bagaimana nasib pelajar, tenaga pengajar dan pihak yang menyalur dana untuk operasi pusat tahfiz?,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, semalam.

Satiful Bahri berkata, kerajaan negeri mengakui kejadian seumpama itu mencemarkan imej Islam namun sebarang tindakan yang mahu diambil haruslah munasabah.

“Kes sebegini satu dalam seribu. Kita kena ambil tindakan munasabah dengan menghukum individu yang bersalah, bukan menghukum orang lain yang tidak sepatutnya menerima kesan,” katanya.

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak menutup terus sekolah tahfiz sekiranya pengetua atau pemilik didapati bersalah melakukan gangguan seksual terhadap pelajar.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan keji itu bukan sahaja mencemarkan institusi tahfiz dan menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap institusi itu tetapi memburukkan imej Islam.

Ia susulan kes seorang pemilik pusat tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur, yang ditahan polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual selain meliwat sembilan penuntut berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu.-MY WD