MELAKA,JULAI 2: Bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Idris Haron, mengumumkan kekal setia walaupun tewas dalam perebutan jawatan Ketua UMNO bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) pada Pemilihan UMNO, kelmarin.

Menerima kekalahan dengan hati terbuka, bekas Ketua Menteri itu berkata, beliau masih Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga pengumuman dilakukan oleh kepemimpinan tertinggi parti.

“Saya dan keluarga kekal setia dengan UMNO kerana mengenangkan jasa parti ini dalam kemerdekaan negara, melainkan ada unsur menekan yang mahu `menghumban saya hingga ke dinding’.

“Jika ada yang menganggap saya sebagai liabiliti dalam UMNO, saya akan fikirkan kemudian,” katanya hari ini.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang tewas mengejut jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu apabila mendapat 151 undi berbanding pencabarnya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mendapat 353 undi.

Mengulas kekalahannya, Idris berkata, satu kajian terperinci perlu dilakukan berikutan calon yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ditolak oleh perwakilan.

Perwakilan juga dilihat menolak ADUN Pantai Kundor, Datuk Azman Hassan sebagai calon Timbalan Ketua UMNO Bahagian apabila memilih Datuk Wira Abu Bakar Md Diah yang sudah tewas di kerusi DUN Paya Rumput.

Beliau tidak menolak kekalahannya itu ada kaitan dengan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Melaka pada PRU-14, selain mengakui berdepan persepsi dimainkan sesetengah pihak yang mendakwa beliau tidak mesra rakyat dan tidak telus.

Sebaliknya, beliau mahu jawatankuasa baharu yang terpilih, khususnya bagi UMNO Bahagian Tangga Batu supaya segera mempunyai struktur lengkap, selain bersedia bekerjasama untuk melancarkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sudah pasti saya tidak boleh menganggotai jawatan kuasa ini kerana ditolak oleh perwakilan UMNO di peringkat bahagian. Kebimbangan saya ialah perkhidmatan (sebagai wakil rakyat) tergendala, selain berada sebagai pembangkang,” katanya.

Idris turut terkejut dengan tindakan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, keluar UMNO dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

“UMNO perlu meneliti serta mengkaji tindakan bekas Ketua Puteri UMNO ini yang secara tiba-tiba meninggalkan parti, sedangkan beliau berada antara tempat terkanan dari segi protokol parti.

“Mas Ermieyati juga menang majoriti cukup besar, malah UMNO sendiri menyapu bersih semua DUN dalam Parlimen Masjid Tanah pada PRU-14. Apakah faktor yang menyebabkan calon pilihan rakyat ini seolah-olah diketepikan (UMNO),” katanya. – MY WD