PUTRAJAYA, 6 Jan – PERANAN….Institusi keagamaan tidak hanya berperanan menyebarkan agama, sebaliknya perlu turut giat menentang keganasan dan ekstremisme, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Berlandaskan nasihat ulama dan cendekiawan, mengesyorkan beberapa kerja asas yang mana pendidikan serta maklumat berpandukan Islam berkaitan anti keganasan sepatutnya boleh dihasilkan.

“al-Quran sendiri menyebut bahawa menjadi seorang Islam serta menjadi seorang yang sederhana adalah perkara yang sama. Kita harus menjadi contoh kepada umat Islam lain bahawa jika kita beragama Islam, maka kita juga bersifat sederhana.

“Ini sebahagian daripada akidah Islam dan fiqah kesederhanaan, saya minta ulama kita membina akidah ini bertunjangkan al-Quran serta sunnah Nabi selain menggesa pemimpin kita melakar pelan tindakan bagi mengembangkan ajaran akidah ini kepada ummah sejagat.

“Imam, guru sekolah agama, pakar media, usahawan, ahli politik, diplomat dan pakar anti keganasan, semua mempunyai peranan dalam menunaikan tanggungjawab melaksanakan akidah kesederhanaan ini, baik dalam perundangan mahupun amalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (Rabitah al-Islami), Dr Muhammad Abdul-Kareem Al-Issa.

PISD 2018 selama dua hari, bertemakan ‘Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan’ yang berakhir hari ini, dianjurkan KDN dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-lslami, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Arab Saudi.

Program dihadiri 1,000 peserta tempatan dan luar negara, membabitkan pegawai kanan kedutaan dan pesuruhjaya tinggi asing di negara ini, NGO, ahli akademik, pegawai kanan kerajaan dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Najib berkata, hakikat begitu banyak negara menghadiri PISD, membuktikan kerjasama lebih erat membabitkan pelbagai pihak termasuk pasukan keselamatan, penambahbaikan teknologi dan keupayaan, perkongsian risikan serta menyampaikan mesej jelas wujudnya kesepakatan menolak kekejaman dan keganasan.

“Malaysia sendiri tidak terkecuali di mana 95 rakyat negara ini dikenal pasti menyertai Daesh di Syria dan Iraq. Seramai 34 terbunuh, lapan kembali ke sini dan ditahan, manakala baki 36 dewasa serta 17 kanak-kanak masih berada di sana.

“Setakat ini hanya ada satu serangan dikaitkan dengan Daesh di negara ini, mujurlah tiada nyawa terkorban, tetapi kita mesti bersedia, memastikan polis dan pasukan keselamatan memiliki peralatan yang perlu bagi menentang mereka yang sanggup membunuh dan memusnahkan tanah air kita,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan sentiasa menekankan kesederhanaan yang diketengahkan menerusi konsep wasatiyyah sebagai asas rangka kerja mencakupi bidang yang luas, dari segi tadbir urus negara sehinggalah menyelesaikan pertikaian atau masalah.

Malah, katanya, Malaysia turut mengguna pakai pendekatan sama dalam melaksanakan peranan sebagai fasilitator pelan damai di selatan Filipina dan selatan Thailand.

Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada sesi perhimpunan agung ke-72, mengiktiraf resolusi Malaysia mengenai kesederhanaan dan mengumumkan 2019 sebagai Tahun Kesederhanaan bagi mempromosi dialog, tolak ansur, persefahaman serta kerjasama. – WD MY