NEW YORK, Amerika Syarikat, 24 SEPT – PADAT…. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tiba di sini hari ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), dijangka memanfaatkan pentas itu untuk memanjangkan aspirasi negara ke peringkat antarabangsa.

Bercakap kepada media Malaysia di sini hari ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata agenda utama lawatan Dr Mahathir kali ini adalah ucapan beliau sempena sesi ke 74 UNGA pada 27 September ini (jam 3 pagi 28 September waktu Malaysia).

“Saya percaya Dr Mahathir akan mengulangi gesaan supaya reformasi dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disegerakan di samping menekankan, sementara reformasi ini dilakukan, adalah penting bagi negara anggota untuk menghormati institusi antarabangsa dan peraturannya,” katanya.

Saifuddin berkata Malaysia menyokong multilateralisme, di mana negara (anggota PBB) bersekutu dalam mengejar matlamat bersama, tetapi konsep itu kini semakin terancam.

Dr Mahathir, ketika pelancaran Rangka Kerja Dasar Luar Malaysia Baharu baru-baru ini, berkata ada negara berkuasa yang tidak mengendahkan perjanjian multilateral dan cuba menekankan kepentingan masing-masing demi agenda peribadi.

Antaranya termasuk ketidakadilan di Palestin, ketegangan baru-baru ini di Kashmir dan sekatan ekonomi atau sekatan perdagangan dilakukan satu pihak.

Rangka kerja itu, yang berpandukan ucapan pertama Dr Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia Ketujuh di PBB tahun lalu, memperlihatkan negara yang lebih proaktif dalam dasar luarnya dan perhimpunan PBB minggu ini menjadi ujian awal bagi pendekatan baharu itu.

“Resolusi di PBB tidak berlaku dalam sehari. Debat dan wacana mengenainya dimulakan bertahun lebih awal. Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) adalah contoh yang baik.

“Namun, ada isu penting lain yang masih belum lagi dikawal selia. Bila kita lihat tekanan Amerika Syarikat terhadap Huawei, mana-mana penganalisis dapat melihat bahawa ini bukan hanya mengenai Huawei atau telefon manakala reaksi China pula bukan sekadar melindungi produk mereka, ada sesuatu sedang berlaku.

“Ini mungkin sebahagian daripada proses debat ke arah kawal seliaan antarabangsa berkaitan…saya tidak tahu. Kita perlu menyertai wacana itu (untuk mengetahuinya),” kata Saifuddin.

Katanya, Perdana Menteri juga akan menyentuh mengenai tajuk ‘Peraturan Undang-Undang menerusi Multilateralisme’ pada Forum Pemimpin Dunia di Columbia University.

Delegasi Perdana Menteri dalam rangka lawatan kerja lima hari itu turut disertai isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Saifuddin dan pegawai kanan kerajaan.

Dr Mahathir juga dijadualkan bercakap pada beberapa acara sampingan yang dianjurkan bersama oleh Malaysia, bermula dengan krisis Rohingya, yang turut disokong oleh Bangladesh, Turki, Arab Saudi dan Kanada.

Ini diikuti program ‘Pengawasan Persekitaran dalam Menangani Kemiskinan bagi Mencapai Pembangunan Lestari untuk Semua’, dengan Malaysia selaku penganjur utama bersama Turki, Pakistan serta Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB.

Dalam kesempatan antara cara berkaitan PBB, Dr Mahathir juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dan melakukan kunjungan hormat terhadap pemimpin negara lain serta ketua korporat utama.

Dr Mahathir juga akan menyampaikan kenyataan Malaysia pada Dialog Pemimpin 6: Wawasan 2020-2030 semasa Forum Politik Peringkat Tinggi pada Sidang Kemuncak SDG esok.

Semua mata dijangka tertumpu kepada Perdana Menteri berusia 94 tahun itu apabila beliau menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada Debat Umum UNGA yang dijadualkan pada Jumaat ini di Ibu Pejabat PBB.

Tema untuk debat umum tahun ini, ‘Merangsang Usaha Multilateral untuk Pembasmian Kemiskinan, Pendidikan Berkualiti, Tindakan Iklim dan Rangkuman’, memberi tumpuan kepada hubungan berterusan sistem PBB. – WD MY