AMPANG, 30 Mei – TIDAK HADIR LAGI…. Misteri kehilangan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos masih tidak terungkai apabila dia yang dijangka hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk menyelesaikan proses ikat jaminnya.

Menerusi satu rakaman suara diedarkan kepada pihak media semalam, Jamal berkata, dia akan tampil di IPD Ampang Jaya dan bakal mengadakan sidang media berhubung perkara itu selepas memberikan keterangan kepada polis.

Bagaimanapun, hampir 50 wartawan yang menunggu di hadapan perkarangan IPD dalam hujan sejak jam 2 petang kecewa apabila dia yang juga Pengerusi Gerakan Baju Merah tidak muncul selepas sejam, sebelum peguamnya tampil untuk mengadakan sidang media.

Peguam yang mewakili Datuk Mohd Imran Tamrin juga tidak dapat mengesahkan kedudukan atau lokasi sebenar anak guamnya itu, malah mendakwa Jamal gagal dihubungi.

“Polis sudah memberikan jaminan kepada anak guam saya, bagaimanapun, proses ikat jamin itu tidak sempurna kerana Datuk Seri Jamal tidak menandatangani dokumen berkaitan.

“Saya tidak tahu dia berada di mana dan tidak dapat dihubungi juga. Pihak kami juga menunggu dia untuk muncul dalam masa terdekat untuk menyelesaikan proses ikat jamin,” katanya ketika ditemui di IPD Ampang Jaya, ┬áhari ini.

Terdahulu, polis mengarahkan Jamal untuk segera tampil bagi menyelesaikan proses jaminannya yang tergendala Jumaat lalu bagi mengelakkan dia daripada terus menjadi buruan polis dengan sengaja melengah-lengahkan proses itu walaupun memberikan alasan sedang berehat untuk menyembuhkan penyakit sakit belakang yang dialaminya.

Sebelum ini, Mohd Imran dilaporkan berkata, anak guamnya mungkin beranggapan proses ikat jamin atas tuduhannya sudah sempurna sebelum keluar dari hospital berkenaan.

Jamal menghilangkan diri dari sebuah hospital swasta di Ampang, Jumaat lalu selepas diberi ikat jamin oleh polis kerana disiasat bagi kesalahan mempamerkan senjata api. – WD MY